Pelancongan Di Malaysia



Sesebuah negara yang berjaya memanipulasikan panorama persekitaran yang cantik, tinggalan sejarah, keunikan budaya, kemajuan ekonomi, peluang pendidikan dan rawatan, serta penganjuran acara bertaraf antarabangsa akan menarik kadar ketibaan pelancong yang tinggi dari serata pelosok dunia. Sektor pelancongan bukan sahaja muncul sebagai penyumbang besar pendapatan negara, bahkan menjana kesan pengganda yang besar dalam kegiatan ekonomi. Peluang pekerjaan dan penyelidikan dalam bidang pelancongan juga dapat dikembangkan secara lebih agresif. Dengan kemudahan perkhidmatan atas talian, keberkesanan kos dalam aspek pemasaran pelancongan dapat dioptimumkan . Malaysia memang kaya dengan destinasi pelancongan yang terhebat seperti Langkawi, Pulau Pinang, pesisiran pantai Terengganu, Hutan Belum dan Taman Negara di Pahang, Sabah dan Sarawak. Kehijauan hutan tropika, desiran angin sepoi-sepoi bahasa di pinggir pantai dan pengembaraan di tempat-tempat peranginan menjadikan Malaysia bagaikan syurga dunia yang menggamit kedatangan pelancong. Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Dalam Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5: 1986-1990), kerajaan telah mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas untuk para pelancong di seluruh negara seperti menaiktaraf jeti pelancongan di Kuala Tahan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Membaiki kemudahan sedia ada di taman-taman negara.
Selain itu, kerajaan juga telah menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan pelancong asing yang kian bertambah. Namun, industri pelancongan negara telah mengalami kemerosotan pada tahun 1997 dan 1998 disebabkan oleh kejadian jerebu, penularan wabak virus nipah dan Coxsackie serta krisis kewangan Antarabangsa. Faktor-faktor tersebut menjadi punca kemerosotan kedatangan pelancong ke Malaysia. Peratusan kemasukan pelancong telah menurun sebanyak 13% pada tahun 1997 dan 10.6% pada tahun 1998. Industri pelancongan negara berkembang baik dengan peningkatan ketibaan pelancong dengan kadar purata sebanyak 10.0% setiap tahun. Pada tahun 2003, ketibaan pelancong ke Malaysia telah kembali mengalami kemerosotan. Ia disebabkan oleh penularan wabak Sindrom Penafasan Akut Yang Teruk (SARS) dan keadaan politik dunia yang tidak stabil. Walaubagaimanapun, ketibaan pelancong telah meningkat semula pada tahun 2005 dengan 16.4 juta orang dicatatkan melawat Malaysia. Pada Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8: 2001-2005), kerajaan telah menyasarkan strategi asas dan dasar pembangunan pelancongan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan di samping menjana pendapatan negara. Strategi pelancongan yang mampan telah digunakan untuk melindungi keseimbangan antara alam sekitar, ekonomi, sosial dan isu-isu budaya dalam semua aktiviti pelancongan. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006).
Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan . Pada tahun 2007, kerajaan telah melancarkan program Tahun Melawat Malaysia (TMM 07). Program tersebut dijalankan sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia ke-50. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sembilan 2006-2010 (RMK-9), kerajaan masih lagi meneruskan dasar pembangunan pelancongan yang mampan dengan menekankan pembangunan produk baru, peningkatan penggunaan sumber manusia dan membangunkan pelancongan domestik. Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan eko-pelancongan melalui pertanian dan pembangunan produk luar bandar. Promosi seberang laut yang agresif telah menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan untuk tujuan pendidikan dan kesihatan. Program pertukaran pelajar antarabangsa akan memberi impak positif dalam jangka panjang kepada sektor pelancongan. Ketibaan pesakit dan kaum keluarga bagi mendapatkan rawatan pakar dengan kos yang berdaya saing menyumbang terhadap permintaan barang dan perkhidmatan tempatan oleh warga asing. Pembukaan kampus perubatan John Hopkins baru-baru ini menunjukkan kepercayaan universiti terkemuka dunia itu tentang prospek bidang rawatan di Malaysia. Maka, ketibaan pelajar asing dan pelancong kesihatan dijangka meningkat secara drastik.
Penganjuran acara sukan bertaraf dunia dan persidangan antarabangsa juga meletakkan Malaysia di peta pelancongan sukan dan forum. Acara sukan pemotoran F1, Monsoon Cup kejohanan golf dan tenis terbuka Malaysia, dan Le Tour de Langkawi sebagai contoh telah menggamit kehadiran penyokong-penyokong bintang sukan antarabangsa ke Malaysia. Perbelanjaan pelancong sukan untuk pembelian tiket, makanan, penginapan dan cenderamata, serta hak iklan dan siaran telah menjana pendapatan bernilai bilion ringgit. Sekali pelancong sukan tertawan dengan keindahan alam dan budi bahasa masyarakat Malaysia, mereka pasti datang lagi. Begitu juga dengan pembinaan pusat konvensyen seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dewan persidangan hotel bertaraf lima bintang telah merancakkan ketibaan pelancong yang gemar menyertai perbincangan peringkat tinggi serta acara-acara korporat antarabangsa. Kesempatan mempromosi destinasi pelancongan negara untuk semua peserta dan penyokong mereka akan menyumbang terhadap kepesatan sektor pelancongan negara dalam jangka panjang.

No comments:

Post a Comment