Konsep Pelancongan



Pelancongan adalah gerakan sementara manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Di dalam Kamus Dewan istilah pelancongan didefinisikan sebagai perihal melancong atau perihal orang melancong dan perkhidmatan berkaitan menggalakkan pelancongan. Dalam bahasa Inggeris Pelancongan diertikan sebagai tourism manakala melancong pula diertikan sebagai travel atau journey. Melancong juga didefinisikan sebagai meninggalkan tempat tinggal menuju ke sesuatu destinasi dengan tujuan tertentu dan berhasrat untuk kembali semula ke tempat asal. Manakala pelancong pula diertikan sebagai orang yang bermusafir ke sesuatu tempat dengan tujuan tertentu dan tidak bertujuan untuk berhijrah atau berkerja di tempat tersebut. Pelancongan dianggap sebagai satu kemewahan, ini kerana hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang sahaja mampu melancong. Perkataan ‘tour’ berasal dari Latin ‘tornare’ dan Greek ‘tornos’ yang memberi makna ‘a lathe or a cicle’ iaitu pergerakan yang mengelilingi titik pusat (axis). Dalam bahasa Inggeris moden, perkataan ini mewakili satu pusingan (one’s turn).
Pertubuhan Pelancongan Dunia atau World Tourism Organization (WTO) mendefinisikan pelancongan sebagai orang yang pergi atau tinggal di tempat-tempat yang di luar kebiasaan mereka untuk bercuti dengan tidak melebihi tempoh satu tahun. Manakala Islamic Tourism Centre atau Pusat Pelancongan Islam di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia pula telah mendefinisikan pelancongan Islam sebagai suatu bidang atau industri atau aktiviti yang berkaitan dengan pengembaraan untuk melawat tempat-tempat yang mempunyai sejarah Islam, mengenali budaya serta warisan Islam, dan juga untuk memahami dan menyelami cara hidup masyarakat Islam. Dari perspektif sejarah, pelancongan bermula kira-kira 5000 tahun yang lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal laut dan wang sebagai medium pertukaran. Perjalanan ini lazimnya didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan Timur Tengah. Apabila empayar berkembang (terutamanya dalam abad ke 2 tahun Masihi), orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan dibina dengan baik untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah tumpangan telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel di kebanyakan bandar.  Ironinya, begitulah serba ringkas senario perkembangan sektor pelancongan di dunia sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment